(INSPIRASI): 7 WANITA BERJAYA DALAM INDUSTRI PERNIAGAAN DAN FESYEN DI MALAYSIA!

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Itulah yang mungkin sesuai untuk menggambarkan kejayaan 7  figura muda usahawanita yang hebat ini. Mereka adalah antara ikon yang melopori perniagaan fesyen yang sangat dikagumi di Malaysia kerana kejayaan dan kelainan yang dibawakan oleh mereka telah mencetuskan fenomena di kalangan masyarakat. Pastinya anda ingin mengetahui siapa mereka. Maka, inilah cebisan kejayaan mereka dalam perniagaan fesyen yang mana jenama mereka sentiasa meniti dari bibir ke bibir setiap lapisan masyarakat.

Vivy Yusof (Fashion Valet & Duck Scarves)

Nama Vivy Yusof bukanlah satu nama yang asing lagi di dalam dunia perniagaan alam maya, terutamanya di kalangan wanita. Namun, kejayaan yang beliau  kecapi kini tidaklah hadir dengan mudah. Pada mulanya, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinaz Yusof hanyalah seorang graduan Undang-undang dari London School of Economics, UK (LSE).

Namun, setelah minat beliau untuk menjadi seorang usahawan mula timbul semasa bekerja di bawah syarikat hartanah milik bapanya, Proven Group, beliau memutuskan untuk mencuba nasib dalam bidang perniagaan dalam talian bersama teman lelakinya, Fadzarudin Anuar, yang kini suaminya. Maka seperti yang umum diketahui, lahirlah laman FashionValet yang menjadi kegilaan mereka para wanita yang mahukan keunikan di dalam penampilan mereka. Sehingga kini, Vivy Yusof berjaya melebarkan lagi perniagaannya menerusi jenama Duck Scarves yang dilihat cukup popular di kalangan peminat tudung tempatan dan antarabangsa.

Neelofa (Naelofar Hijab)

Sebagai rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan dunia seni, siapa yang tidak kenal dengan pelakon cantik Neelofa ini. Wanita berusia 28 tahun ini walaupun seringkali dihujani pelbagai kontroversi tidak kira baik atau buruk yang menjadikan dia sebagai seorang yang cukup berpengaruh tidak kira dalam bidang seni mahupun perniagaan. Pelancaran jenama Naelofar Hijab ini sebenarnya didorong oleh transformasi dirinya yang tersendiri dan semangat besar beliau dalam bidang fesyen. Kini, jenama Naelofar Hijab telah berkembang pesat di Malaysia dengan pelbagai koleksi dan rekaan.

Pada tahun 2016, Neelofa berjaya menerima anugerah ikon  wanita sempena Anugerah  “Tribute To Women” Malaysia 2016 oleh Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah. Selain itu, kejayaan beliau terpilih sebagai antara 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017 merupakan satu penghargaan yang sangat luarbiasa.

Belle Al-Yahya (Bella Ammara)

Sejarah penubuhan Bella Ammara secara ringkas diasaskan oleh, Khalif Samsudin dan isteri beliau Belle Al-Yahya. Bella Ammara ditubuhkan pada 26 Julai 2012 dan menjalankan perniagaan secara online dengan bermodalkan RM 1000 dengan menjual 9 pasang telekung. Setahun kemudian pada 1 Julai 2013, butik pertama Bella Ammara dibuka di Setapak. Butik kedua dibuka di Shah Alam pada 29 Ogos 2014, diikuti butik ketiga di Bangi pada 28 Mac 2015.

Butik keempat pula di Sungai Petani pada 30 Mei 2015 dan yang kelima di Johor Bahru pada 28 Ogos 2015. Dan butik keenam dan terbaru mereka adalah di Kuantan dilancarkan pada 25 Disember 2015. Antara pencapaian utama Bella Ammara hingga hari ini adalah telekung BellaLofa, abaya BellaLiyana, Daisy Dwi Tone Jubah, B’Belle Luxe Instant Shawl dan Haute Bella No.1.

Pija (Minaz)

Fakta menarik yang barangkali tidak diketahui sebahagian pengikut jenama Minaz. Hafiza Abd. Hamid, 32, Pengarah Urusan merangkap pereka dan pengasas Minaz, pernah berulang alik ke Korea Selatan sepanjang bergelar pelajar universiti. Mengambil bahasa Korea sebagai subjek bahasa ketiga ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Hafiza atau mesra dengan gelaran Pija, sering dihantar UiTM bagi mengikuti kem musim panas dan program pertukaran pelajar di Korea Selatan.

Minaz hari ini telah mengumpul ribuan pengikut di serata Malaysia. Keunggulan jenama tersebut terbukti apabila para pengikutnya menubuhkan kelab peminat Minaz Lovers (merujuk kepada pengikut setia Minaz) – Minaz Lovers FC sekitar September tahun lalu. Pencapaian yang mengharukan untuk Pija dan keluarga Minaz. Sejak dua tahun lalu juga, identiti Minaz dengan pakaian bermotif flora mula menjadi ikutan. Kebanyakan jenama tempatan lain sepakat untuk menjadikan Minaz sebagai penanda aras trend terkini. Apa yang dilancarkan Minaz, itulah yang perlu diikuti demi merancakkan industri, sekali gus mewujudkan budaya persaingan.

  

Farah Ilyana Khairuddin, Farah Mislina Khairuddin, dan Farah Azrina Khairuddin (Calaqisya)

Jenama CalaQisya memang tidak asing lagi dalam dunia fesyen Muslimah di Negara. Siapa sangka, bermula dengan hanya menjual tudung di sekitar universiti dan di Facebook, tiga beradik ini mula memberanikan diri untuk menyertai bazar fesyen dan kemudiannya mengambil langkah untuk lebih serius dalam bidang bisnes dengan penubuhan CalaQisya. Pemilik sebenar CalaQisya, Farah Ilyana Khairuddin, Farah Mislina Khairuddin, dan Farah Azrina Khairuddin, mempunyai perwatakan berbeza dari segi cara berpakaian dan minat. Namun, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bisnes kebiasaannya mereka bersependapat.

Selain itu, CalaQisya turut mempunyai jenama kasut mereka sendiri iaitu CalaMan yang turut mendapat sambutan hangat. CalaMan diuruskan oleh suami Ilyana sendiri iaitu Hazwan Faiz bersama beberapa rakan yang lain. Antara rangkaian kasut jenama CalaMan ialah Pinoccio, Orchid dan Yasmeen.

Liyana Rahman (Leeyana Rahman)

Liyana Rahman atau (Leeyana Rahman) ternyata cukup dikenali dengan jenamanya yang cukup popular di kalangan generasi muda. Leeyana Rahman pada awal kemunculannya mewarnai industri fesyen dengan mengeluarkan koleksi warna-warna block sebagai asas percaturannya. Berani bermain dengan warna-warna kontras ini membuatkan koleksi Leeyana Rahman tampak lain daripada jenama yang lain.

            Leeyana Rahman tampil penuh bergaya apabila menghasilkan pelbagai spektrum, dimensi dan corak yang cukup elegan dan sofistikated sesuai digayakan untuk pelbagai peringkat umur. Hampir 5 tahun bertapak dalam industri fesyen tanah air membuatkan jenama Leeyana Rahman cukup matang dalam merentasi pelbagai cabaran dalam industry fesyen dan selok belok perniagaan berteraskan wanita.

Sofia Adnan (Color Blast Closet)

Wanita hebat dan ibu kepada 3 orang anak ini dikenali sebagai Sofia Adnan. Merupakan graduan Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2003. Di awal pembabitan beliau sebagai seorang Guru Sains, beliau mula dengan meniaga kain pasang di sekolah sehinggalah tertubuhnya Color Blast Closet atas cetusan idea beliau pada tahun 2012. Pada awal penubuhannya, beliau dan suami, Hafiz Rahmattullah hanya menjalankan perniagaan bermula dari rumah sahaja sehingga kini dan pernah dinobatkan Top 5 laman web terbaik paling digemari dan paling laris di Malaysia berdasarkan similarweb.com pada tahun 2016.

Perniagaan Color Blast Closet dilihat semakin berkembang dan menjadi salah satu pengeluar jenama fesyen yang sangat dikenali khususnya pakaian muslimah. Konsep penubuhan Color Blast Closet adalah bertumpu kepada golongan wanita yang mahu bergaya ringkas namun dalam masa yang sama ingin untuk tampil anggun, sopan dan elegan dalam setiap penampilan mereka. Color Blast Closet amat menitikberatkan keselesaan di samping mengutamakan kesederhanaan dalam setiap rekaannya. Sehingga kini, jenama Color Blast Closet merupakan sebuah jenama pilihan utama wanita bekerjaya di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published.